| Tarikh Program | 29-11-2025 |
29 November 2025, Kuala Lumpur - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah menganjurkan Aroma Kopi: Ekspresi Seni dan Budaya pada 29 dan 30 November 2025 di Dataran Muzium Negara. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara..
Bertemakan "Kopi Menyatukan Komuniti, program ini diadakan bagi mewujudkan platform interaktif dan budaya yang akan mengetengahkan keunikan kopi yang bukan sahaja terkenal dengan aromanya, malah penuh dengan ekspresi seni, warisan, dan sejarah tempatan.
YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid dalam ucapannya berkata “Kopi bukan sekadar minuman tetapi merupakan satu simbol budaya yang dapat menyatukan masyarakat merentas pelbagai bangsa, kaum dan agama. Walau di mana jua sama ada di warung, kedai kopi moden, mahupun di ruang tamu rumah, secawan kopi sering menjadi medium mempertemukan komuniti.”
“Dalam konteks perpaduan nasional, budaya kopi memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi dan mengukuhkan hubungan sosial. Kopi merapatkan jurang, mencipta suasana inklusif dan menjadi titik temu yang memupuk persefahaman”, ujar beliau.