| Tarikh Program | 20-01-2026 |
20 Januari 2026, Putrajaya - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memberi fokus kepada lima kluster utama menuju Pembinaan Negara Bangsa sepanjang tahun ini. Perkara tersebut diumumkan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara Tahun 2026.
YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tema “Bersama Membina Negara Bangsa” telah dipilih bagi tahun ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas.
Tambah beliau, tahun ini KPN akan terus melaksanakan beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi townhall serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa pada September 2026 bagi menghasilkan satu Blueprint Negara Bangsa untuk rujukan terutama kepada agensi kerajaan dalam membuat dasar dan inisiatif baharu.
Dalam ucapannya, beliau turut mengiktiraf peranan semua pegawai perpaduan, kurator muzium, pegawai arkib serta pustakawan sebagai Jurutera Sosial Negara (Social Architects) yang memainkan peranan penting dalam menyemarak semangat perpaduan, memelihara warisan dan memperkukuh usaha pembinaan negara bangsa.