| Tarikh Program | 09-07-2025 |
9 Julai 2025, Kuala Lumpur– Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Fabrik ASEAN 2025 yang diadakan di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Simposium ini dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Tekstil Negara. Program keilmuan berprestij ini diadakan pada 9 hingga 10 Julai 2025 yang merupakan salah satu program di bawah tonggak sosio-budaya ASEAN bersempena Kepengerusian ASEAN. Simposium ini membawa tema utama “Textile Sustainability: Tradition Towards Transformation” yang memberi fokus kepada kelestarian tekstil dari perspektif tradisi, inovasi dan masa depan.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia atas kejayaan penganjuran simposium berkenaan serta menegaskan bahawa muzium memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembelajaran, dialog dan penciptaan bersama dalam masyarakat.
Turut hadir, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, Pengurusan Tertinggi Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Dan Agensi.