Tarikh Program | 19-06-2025 |
19 Jun 2025, Selangor - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperkenalkan Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan secara digital berkaitan isu-isu perpaduan.
YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata, “RAKAN merupakan satu inisiatif bagi mendekatkan rakyat kepada kerajaan dalam memperkasa komuniti terhadap usaha menjaga keharmonian nasional. Inisiatif ini mampu membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan”.
Bertemakan Menjulang Perpaduan, Memperkasa Keselamatan, sesi townhall Keselamatan dan Perpaduan Tahun 2025 dihadiri oleh kira-kira 500 orang wakil daripada pelbagai agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin, tokoh masyarakat, Mediatior Komuniti serta seluruh jentera perpaduan yang merungkai cabaran semasa perpaduan nasional serta mengukuhkan pendekatan menyeluruh dalam menangani isu-isu keselamatan komuniti, khususnya berkaitan sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).