29 Julai 2025, Kedah - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan agar satu Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Malaysia diwujudkan bagi mengintegrasikan input daripada semua muzium di peringkat persekutuan, negeri, institusi dan swasta melalui satu sistem digital terpusat. Perkara tersebut diumumkan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara ketika merasmikan Majlis Penutup Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025.
YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata “rekod koleksi artifak kini diurus dan disimpan secara berasingan menyebabkan Kerajaan tiada gambaran menyeluruh tentang jumlah sebenar artifak dan khazanah warisan negara yang berada dalam simpanan muzium-muzium di Malaysia. Maka, pangkalan data ini diperlukan bagi memastikan pemeliharaan warisan negara lebih tersusun serta membolehkan inventori koleksi diselaraskan dan dikemaskini secara berkala di samping menyokong usaha pendigitalan warisan”.
