Kurangkan Pemanasan Global
Logo JPNIN

LAMAN WEB RASMI

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA 

 

   
             

LATAR BELAKANG

Kerajaan telah meluluskan penjenamaan semula Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MPKN) kepada Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) pada 12 Jun 2019 selaras dengan Janji 56 dalam Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa misi perpaduan dari kerajaan kepada rakyat dan negara Malaysia. Keahlian Majlis ini adalah terdiri dari pelbagai latar belakang individu yang meliputi barisan pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, aktivis masyarakat serta rakyat akar umbi bagi menasihati kerajaan dalam usaha penyatuan dan perpaduan negara.

 

PERANAN

Sebagai kesinambungan kepada platform MKPN, MPKR akan bertindak sebagai suatu badan berkecuali yang berwibawa bagi menasihati Kerajaan dalam hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial bagi meneruskan usaha-usaha penyatuan nasional demi menjulang agenda perpaduan. Penubuhannya menjadi platform untuk membincangkan isu-isu yang sukar dalam kalangan masyarakat yang kompleks serta merintis jalan penyelesaian ke arah merapatkan jurang yang menghalang perpaduan. Peranan MPKR ini adalah amat bertepatan sekali dengan keperluan negara pada masa ini memandangkan Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengurangkan ketegangan kaum dan mempertingkatkan perpaduan negara. MPKR juga akan bertindak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dalam memelihara hak semua kaum tanpa mendiskriminasikan mana-mana pihak terutamanya dalam menegakkan maksud Artikel 4, 8, 12 dan 153. Tanggungjawab yang akan dipikul oleh MPKR kelak akan membawa harapan besar memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum demi negara yang dicintai selari dengan matlamat untuk meletakkan Malaysia pada peringkat global sebagai negara yang mementingkan keharmonian dan kemakmuran rakyat seperti mana yang dihasratkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (Shared Prosperity Vision).

 
 

TERMA RUJUKAN

  • Menjadi badan bebas yang menasihati Kerajaan mengenai Hal Ehwal Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.
  • Menyediakan forum untuk ahli-ahlinya mengemukakan buah fikiran bagi menentukan hala tuju dan dasar perpaduan negara.
  • Mengesyorkan bidang kajian yang diperlukan berkaitan dengan perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.
  • Memantau pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara oleh Kementerian / Jabatan / Agensi pelaksana.
  • Mewujudkan kesedaran dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia agar bersikap moderat bagi mengelakkan perpecahan antara kaum dan agama.
  • Mengeluarkan pernyataan awam mengenai usaha-usaha perpaduan dan integrasi nasional apabila perlu.
 

Lembaga Penasihat Perpaduan Negara & Lembaga Perpaduan Negara (1974)

Pada tahun 1974, badan ini telah ditukar nama dan dikenali dengan Lembaga Penasihat Perpaduan Negara berikutan pembubaran Kementerian Perpaduan Negara dan digantikan dengan Lembaga Perpaduan Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Keahlian badan ini turut dikurangkan kepada 16 orang yang dipengerusikan oleh Pengerusi Kerja Lembaga Perpaduan Negara.

 

Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) (1983)

Pada tahun 1983, sekali lagi ia bertukar nama kepada Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL). Ia adalah lanjutan dari pembubaran Lembaga Perpaduan dan penubuhan Jabatan Perpaduan Negara. Keahlian badan ini telah bertambah kepada 26 orang dan dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perpaduan negara.

Seterusnya, berikutan tertubuhnya Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 27 Oktober 1990, Jabatan Perpaduan Negara dicantumkan dan diletakkan di bawah Kementerian ini dan PANEL dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Pada tahun 2004, sekali lagi perubahan nama berlaku apabila Jabatan Perpaduan Negara yang kembali diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dipinda namanya dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Pengerusi PANEL turut berubah di mana ia dipengerusikan oleh Y.B. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keahlianya ditambah menjadi 53 orang.

Pada tahun 2008, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional digabungkan dan menjadi salah sebuah agensi di bawah kementerian baru yang dikenali dengan nama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tahun 2009, kementerian ini sekali lagi mengalami perubahan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kembali diletakkan dan menjadi salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kekal sehingga kini.

 

Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN)

Pada 15 September 2011, dalam perutusan khas Hari Malaysia, Y.A.B. Perdana Menteri di dalam ucapannya telah mengumumkan bahawa mengikut Fasal 3, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ketiga-tiga penguatkuasaan proklomasi darurat yang telah diisytiharkan dahulu ditamatkan. Lanjutan dari pengumuman ini, penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara yang bersandarkan kepada Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat, 1969 di bawah Peratoran-Peratoran Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971 turut termansuh secara automatik.

Keperluan menubuhkan sebuah badan yang menjadi mekanisma perpaduan bagi menggantikan PANEL telah diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri di bawah konsep penyatuan nasional (national reconciliation). Ia dicadangkan sebaik sahaja selesainya Pilihanraya Umum Ke 13 dalam bulan Mei 2013 yang lalu. Berasaskan kepada pemerhatian umum dan trend pengundian ketika itu, tanda-tanda polarisasi kaum mula wujud dan perlu ada sebuah mekanisma bebas untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik di dalam mengatasi isu-isu polarisasi kaum dan perpaduan yang berbangkit.

Oleh itu, pada 11 September 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan sebuah badan yang dikenali dengan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC).

Therefore, on 11th September 2013, meeting of cabinet ministers agreed to establish an agency known as the National Unity Consultative Council.