Kurangkan Pemanasan Global
Logo JPNIN

LAMAN WEB RASMI

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL

(JABATAN PERDANA MENTERI)

   
             

 

Datuk Baharin Bin Idris

 

Warga PERPADUAN yang dikasihi,

Tahun 2018 melabuhkan tirainya. Sesungguhnya, ia tahun yang penuh warna warni, suka dan duka, pahit dan manis, memberi seribu satu erti kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia juga telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang telah terukir dalam sejarah penting negara ini. Aspek perpaduan juga tidak terkecuali dalam gelombang ini.

Seiring dengan perubahan landskap politik negara, keharmonian masyarakat sedang melalui suatu fasa yang lebih mencabar. Sebagai agensi peneraju perpaduan negara, PERPADUAN telah berusaha dengan gigih bagi memastikan perpaduan di setiap peringkat terus terpelihara. Ianya bukan mudah, tetapi dengan sokongan semua warga PERPADUAN, amanah ini berjaya digalas bersama. Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada semua atas sokongan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi yang telah diberikan sepanjang tahun.

Namun begitu, kita tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa. Tahun 2019 bakal hadir dengan perjalanan yang lebih getir buat kita. Cabaran terutamanya daripada aspek kewangan semasa negara dan perubahan landskap masyarakat kini yang lebih terbuka dan bebas, memberi ruang kepada kerencaman ideologi dan pendapat.

Kerajaan perlu mengambil pendekatan baharu yang lebih radikal untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas. Sekiranya kebebasan ini tidak diuruskan dengan bertanggungjawab, ia akan mengundang ancaman dan provokasi yang mampu mengganggu gugat ketenteraman awam dan keharmonian.

Demi mencapai hasrat Kerajaan dalam memelihara perpaduan negara, saya menyeru semua warga PERPADUAN, ahli jawatankuasa Rukun Tetangga dan semua ahli komuniti berganding bahu dalam memelihara perpaduan dan menyemarakkan semangat muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Marilah kita kukuhkan persamaan, dan raikan perbezaan yang wujud di kalangan kita, kerana itulah yang membentuk identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Bersama-sama kita bekerja keras dan fokus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat, seterusnya mencapai aspirasi Kerajaan menuju sebuah negara yang dipandang tinggi dan dihormati di seluruh dunia.

Salam hormat,

“PERPADUAN ADALAH SESUATU YANG KITA BOLEH RASAI DAN DATANGNYA DARIPADA HATI KITA SENDIRI”

“MEMBUDAYAKAN PERPADUAN, MERAIKAN KEPELBAGAIAN”

 

DATUK BAHARIN BIN IDRIS

Ketua Pengarah

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional

Jabatan Perdana Menteri