13 November 2021 - YB. Datuk Halimah binti Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara hari ini hadir ke program Sesi Libat Urus Bersama NGO Perpaduan Bagi Pembangunan Pelan Tindakan Rakan Perpaduan (Friends of Unity).
Sesi libat urus yang melibatkan kehadiran seramai 90 orang wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perpaduan ini merupakan siri kedua selepas siri pertama yang telah diadakan pada 21 April 2021 lalu.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM). Turut hadir ialah Dato’ Indera Noridah binti Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, Penasihat Yayasan Perpaduan Malaysia dan Professor Suresh Kumar A/L P Govind, Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia.
Sesi libat urus ini adalah amat penting dalam membantu Kementerian Perpaduan Negara (KPN) membangunkan Pelan Tindakan Rakan Perpaduan (Friends of Unity). Beberapa lagi sesi seumpama ini akan diadakan bagi memberi peluang kepada NGO terlibat mengemukakan cadangan dan pandangan berhubung peranan yang boleh dimainkan dalam menjayakan aspirasi Perpaduan Keluarga Malaysia.