Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional Kali Pertama 2024
20 Januari 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional Kali Pertama 2024.
Penganjuran Konvensyen ini bukan sekadar menyaksikan pencapaian luar biasa dalam seni tulis, tetapi juga mencerminkan komitmen Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam mempromosikan warisan budaya negara melalui inisiatif yang diperkenalkan iaitu 'Ini Warisan Kita'.
“Seni Kaligrafi Huichun memegang peranan penting
sebagai medium yang mencerminkan kepelbagaian budaya unik di Malaysia. Ia bukan sekadar seni tulisan visual, tetapi ekspresi seni yang menggambarkan sejarah, kepelbagaian, dan keindahan Malaysia,” jelas YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Seni Kaligrafi Huichun berasal daripada perkataan Mandarin "Hui Chun," menjadi warisan budaya yang berharga dengan nilai-nilai estetika dan kebudayaan yang mendalam di Malaysia.
Transformasinya yang diwarnai oleh pelbagai elemen budaya Malaysia menjadikan Kaligrafi Huichun sebagai simbol kepelbagaian budaya negara. Dengan memahami dan mengapresiasi seni ini, ia dapat memupuk kebanggaan terhadap warisan budaya yang kaya dan mampu memperkukuh ikatan kepelbagaian masyarakat di negara ini.