Event Date | 02-07-2025 |
2 Julai 2025, Putrajaya – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menganjurkan Majlis Makan Malam bersama Suruhanjaya Ehwal Etnik Republik Rakyat China (NEAC) di Putrajaya pada hari ini. Majlis ini telah dihadiri oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dan TYT Duan Yijun, Timbalan Menteri NEAC.
Majlis ini diadakan bertujuan menzahirkan penghargaan KPN terhadap usaha serta komitmen yang ditunjukkan oleh NEAC dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian negara. Di samping itu, ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam aspek tadbir urus etnik, keharmonian sosial dan integrasi pelbagai budaya.
KPN dan NEAC kini sedang meneroka potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pengukuhan perpaduan sosial. Antara inisiatif yang sedang dibincangkan termasuk pembangunan bersama modul latihan bagi mediator komuniti yang berasaskan pengalaman China melalui pelaksanaan Undang-undang Mediator serta pendekatan inovatif seperti Sistem Mahkamah Internet. Selain itu, kedua-dua pihak turut mencadangkan penubuhan platform serantau seperti ASEAN–China Grassroots Social Cohesion Forum yang berperanan sebagai wadah perkongsian amalan terbaik dalam mengukuhkan kohesi sosial di peringkat akar umbi.