| Event Date | 22-10-2026 |
22 Oktober 2026, Kuala Lumpur - YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 5.0 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) serta Nanyang Siang Pau, bertempat di Wisma Chinese Chambers.
Anugerah MyHero 5.0 merupakan manifestasi penghargaan kepada wira tidak didendang yang sentiasa menghulurkan bantuan, menyemai nilai kemanusiaan dan menyumbang bakti demi kesejahteraan masyarakat. Setiap tindakan kebaikan, sekecil mana pun, mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan insan serta menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
Lebih bermakna, edisi kali ini memperkenalkan dua kategori pencalonan baharu, iaitu Kategori Dewasa bagi individu berumur 21 tahun dan ke atas serta Kategori Remaja bagi individu berumur di bawah 21 tahun. Inisiatif ini membuka ruang kepada lebih ramai individu daripada pelbagai peringkat usia untuk mengetengahkan amalan murni, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti.
Sesungguhnya, perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi nilai yang perlu dizahirkan melalui tindakan, sikap saling menghormati dan kesediaan membantu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Setiap daripada kita berupaya menjadi wira yang menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan negara.