| Event Date | 12-10-2026 |
12 Oktober 2026, Kuala Lumpur - Majlis Pengkisahan Sejarah Pasukan Sejarah F: Wira Dalam Senyap, Benteng Keselamatan Negara anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah disempurnakan oleh YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, Timbalan Menteri Perpaduan Negara di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Dalam ucapannya, YB Tuan Yuneswaran menghargai sumbangan Pasukan F sebagai satu usaha murni untuk mendekatkan sejarah keselamatan negara kepada masyarakat di samping menghargai jasa dan pengorbanan wira barisan hadapan yang berjuang secara senyap demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara.
Menurut beliau, keistimewaan Pasukan F terletak pada keanggotaannya yang kecil namun memikul tanggungjawab yang amat besar. Menerusi slogan “Hanya Yang Berani”, setiap anggota dituntut memiliki keberanian, kesabaran, kerahsiaan yang tinggi serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri. Kejayaan Pasukan F tidak semata-mata diukur berdasarkan jumlah operasi atau tangkapan, sebaliknya menerusi keamanan dan kestabilan yang dinikmati oleh rakyat hari ini.
YB Tuan Yuneswaran turut menekankan bahawa sejarah Pasukan F mempunyai kaitan yang rapat dengan agenda perpaduan negara, “Tanpa keamanan, tiada kestabilan; tanpa kestabilan, tidak wujud kepercayaan; dan tanpa kepercayaan, perpaduan mustahil digapai”.