| Event Date | 24-10-2026 |
25 Oktober 2026, Sarawak - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus menjadi wadah penting dalam usaha memperkukuh perpaduan dan membina komuniti yang lebih berdaya tahan selepas permintaan berterusan daripada masyarakat untuk menubuhkan KRT memberikan indikasi positif terhadap penerimaan rakyat terhadap kepentingan usaha ini. Perkara tersebut dikongsikan oleh YB Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Sarawak Tahun 2026 di sini.
Peningkatan jumlah KRT daripada 8,348 pada tahun 2022 kepada 8,670 pada tahun 2026, iaitu pertambahan sebanyak 322 KRT dalam tempoh empat tahun mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai platform kerjasama di peringkat akar umbi. Selain itu, sebanyak 101,157 aktiviti telah dilaksanakan oleh KRT di seluruh negara pada tahun lalu merangkumi pelbagai bidang termasuk kebudayaan, kesukarelawanan, ekonomi komuniti, pendidikan, keselamatan dan kemasyarakatan.
Kerajaan MADANI turut mengumumkan peningkatan Geran KRT Aktif daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun mulai tahun 2027, iaitu kenaikan sebanyak 66.7 peratus selepas 13 tahun kadar tersebut kekal bagi memperkasa KRT dengan sumber kewangan yang lebih mencukupi agar lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dapat dilaksanakan demi perpaduan negara. Peningkatan terbaharu ini memperlihatkan pengiktirafan berterusan kerajaan terhadap KRT sebagai Strategic Community Partner dan Grassroots Force for National Unity, iaitu rakan strategik kerajaan dan penggerak utama perpaduan di peringkat akar umbi.
Aaron Ago Dagang