| Event Date | 05-09-2026 |
5 September 2026, Perlis - Seni dan budaya adalah sebahagian daripada identiti kita dan merupakan antara bahasa paling berkesan untuk mendekatkan masyarakat. Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Program Satu Suara, Seribu Warna sempena Semarak Perpaduan Perlis di sini, hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Nadi Sihat dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) ini melibatkan 33,548 murid Tabika Perpaduan dari seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna secara serentak dan pencapaian ini telah berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Selain itu, penganjuran program ini juga merupakan tahun ketiga berturut-turut Nadi Sihat bekerjasama dengan Kementerian dalam melaksanakan pelbagai program yang membawa mesej perpaduan kepada masyarakat. YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata, “Kerajaan akan terus berusaha memastikan seni dan budaya negara bukan sahaja dipelihara, tetapi terus dikenali dan dihargai oleh generasi baharu.
Dalam hal ini, institusi seperti Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia dan Arkib Negara Malaysia memainkan peranan penting dalam memelihara sejarah, ilmu, dokumentasi dan khazanah budaya negara supaya warisan ini tidak hilang danterus dapat dipelajari oleh generasi akan datang”.