| Event Date | 01-10-2026 |
1 Oktober 2026, Sarawak - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) menganjurkan Majlis Syarahan Negarawan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Wisma Sejarah.
Dalam Majlis Syarahan Negarawan ini, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar menyampaikan ucapan dan syarahan kepada para pentadbir, penjawat awam, ahli akademik, penyelidik dan masyarakat mengenai Sejarah Sarawak. Tun Pehin Sri semenangnya dikenali sebagai pencinta dan peminat Sejarah Sarawak, oleh itu Majlis Syarahan Negarawan ini menjadi platform beliau berkongsi pandangan sejarah, idea dan pemikiran agar dapat dihayati serta menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa di Sarawak.
Selain itu, Majlis Syarahan Negarawan ini menjadi wadah bagi masyarakat menelusuri perjalanan hidup dan pengalaman Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi. Beliau memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1964 dan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, termasuklah penglibatan beliau dalam operasi menentang ancaman komunis di Sarawak. Pengalaman berharga tersebut turut didokumentasikan melalui karya beliau yang bertajuk A Policeman.
Dalam ucapan aluannya, YB Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata, “penganjuran program ini menekankan bahawa sejarah merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa.Penghayatan terhadap sejarah Malaysia membolehkan masyarakat menghargai kepelbagaian identiti, pengalaman bersama, dan nilai-nilai yang menjadi tunjang kepada perpaduan serta pembentukan identiti nasional.