| Event Date | 02-12-2025 |
2 Disember 2025, Kuala Lumpur - YAB Datuk Amar Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) 2025-2027. Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.
MPPN ditubuhkan bertujuan untuk menasihati Kerajaan dalam hal-ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional (national reconciliation) dari pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada Kerajaan untuk menangani isu dan cabaran perpaduan.
Seramai 12 orang ahli baharu yang terdiri daripada tokoh masyarakat, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli seni budaya, tokoh korporat dan wakil dari wilayah Sabah dan Sarawak telah dilantik bagi tempoh 2025-2027.
YB Datuk Aaron Ago Dagang turut berkongsi bahawa KPN telah diberikan mandat untuk menerajui Tonggak D1 iaitu Pembentukan Negara Bangsa dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026 – 2030. Penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara. KPN juga sedang dalam usaha merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa dan akan diikuti dengan penganjuran Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada tahun hadapan.