| Event Date | 19-05-2026 |
19 Mei 2026, Johor - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan Program Arkib@Sekolah sempena sambutan 100 Tahun Sekolah Tinggi Segamat sebagai salah satu usaha memperkukuh kesedaran sejarah, pemeliharaan warisan negara serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, Timbalan Menteri Perpaduan Negara bertempat di Sekolah Tinggi Segamat, Johor. Program ini merupakan salah satu hala tuju Kementerian Perpaduan Negara bagi tahun 2026 di bawah Kluster Tunas MADANI. Penganjuran ini menjadi platform penting dalam mendekatkan bahan arkib kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah melalui pendekatan pendidikan yang interaktif dan berasaskan sumber sejarah sebenar.
YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, berkata Program Arkib@Sekolah dilihat sebagai prakarsa penting dalam memperkenalkan kepentingan bahan arkib sebagai sumber sejarah yang sahih dan tidak dapat dipertikaikan. Penggunaan bahan arkib seperti dokumen, gambar, rekod, fail dan bahan audio visual mampu membantu pelajar memahami sejarah secara lebih mendalam, kritis dan komprehensif. Beliau menekankan bahawa dalam era digital dan ledakan maklumat masa kini, generasi muda diseru supaya lebih menghargai dokumen dan rekod sejarah yang mempunyai nilai tinggi kepada negara dan masyarakat. Pemeliharaan bahan arkib amat penting bagi memastikan generasi akan datang tidak kehilangan jejak sejarah serta identiti bangsa.