Event Date | 11-08-2024 |
11 Ogos 2024, Kedah - YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara petang ini telah menyempurnakan Program ‘Dariku Untukmu’ dan Majlis Sumbangan Buku kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Kedah yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia Negeri Kedah, Persatuan Penulis Tamil Iyal Malaysia dan Digital Association of Women in Malaysia di Kedah Digital Library.
Turut hadir, YB Dato' Hajah Halimaton Shaadiah Binti Saad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakan Awam Kedah, Ketua Pengarah, Jabatan Dan Agensi yang terlibat.
Program yang bertujuan meningkatkan koleksi bahan bacaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negara merupakan kesinambungan daripada program sebelum ini yang diadakan pada 17 Julai 2024 di PNM dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia. Penganjuran kali ini memberi kegembiraan kepada 16 buah sekolah terpilih yang masing-masing menerima sumbangan buku sebanyak 200 naskhah. Keseluruhan buku yang disumbang adalah sebanyak 3,200 naskhah meliputi pelbagai bidang perkara seperti fiksyen kanak-kanak dan dewasa, pendidikan, bahasa dan sastera, bacaan ringan, motivasi dan nilai-nilai murni.
Antara objektif yang disasarkan adalah untuk menyediakan ekosistem pendidikan berkualiti dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat bagi pelaksanaan Sustainable Development Goals 4 (SDG4) dan menggalakkan perpaduan melalui aktiviti pembacaan.