| Event Date | 20-02-2026 |
20 Februari 2026, Melaka - Perpaduan tidak boleh dibina tanpa kefahaman sejarah, dan sejarah tidak akan bermakna tanpa diterjemahkan ke dalam nilai dan amalan kehidupan seharian rakyat. Perkara tersebut dinyatakan oleh YBrs. Tuan Mohamad Sobri Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara semasa menyempurnakan program Jejak 20 Februari 1956: Perjuangan dan Pengorbanan Rakyat Menggapai Kemerdekaan Negara Bangsa anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pengurusan Masjid Selat Melaka.
Program yang dianjurkan ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi mengenang peristiwa bersejarah, detik kepulangan rombongan kemerdekaan dari London ke tanah air, dan pengumuman tarikh kemerdekaan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di padang Banda Hilir, Melaka.
Pada masa yang sama, penganjuran program ini juga adalah salah satu inisiatif di bawah kluster Warisan MADANI yang memberikan penekanan dalam memartabatkan khazanah budaya dan identiti negara selari dengan aspirasi Kementerian untuk menyemai kesedaran kebangsaan serta memperkukuh jati diri negara bangsa.