| Event Date | 19-09-2026 |
19 September 2026, Johor - Peranan Perpustakaan Desa terus diperkasa daripada sebuah ruang membaca kepada hab ilmu, literasi dan interaksi komuniti, sekali gus menyumbang kepada usaha membina negara bangsa yang berilmu, berjati diri dan bersatu padu. Perkara ini diterjemahkan Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan (TKSP) 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Segamat, Johor. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Menggabungkan elemen literasi, warisan, seni budaya dan pembelajaran sepanjang hayat, program ini mendekatkan Perpustakaan Desa dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan komuniti. Penghayatan sejarah, budaya dan warisan tempatan turut diketengahkan bagi menyemai jati diri, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian serta memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang.
Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah Kelas Membaca (KECA) Perpustakaan Desa PNM, yang memperkasa petugas Perpustakaan Desa untuk membantu kanak-kanak membina minat dan meningkatkan kemahiran membaca sejak awal. Petugas turut dilengkapkan dengan kemahiran mengendalikan aktiviti galakan membaca serta penggunaan pelbagai bahan bacaan bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.