| Event Date | 14-11-2026 |
14 November 2026, Kuala Lumpur - Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bertemakan “Cahaya Deepavali, Semarak Perpaduan” anjuran Kementerian Perpaduan Negara bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, di Little India Brickfields.
Keunikan budaya dan tradisi masyarakat India merupakan sebahagian daripada warna-warni yang membentuk identiti Malaysia. Menerusi persembahan tarian tradisional, penghayatan seni kebudayaan serta pameran Rumah KAMI, sambutan ini membuka ruang untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat keindahan warisan, adat resam dan nilai kehidupan masyarakat India.
Lebih daripada sekadar perayaan, Deepavali membawa seribu satu makna tentang kasih sayang, pengorbanan, ikatan kekeluargaan dan harapan baharu. Cahaya pelita yang dinyalakan bukan sahaja menyinari kediaman, malah melambangkan keinginan setiap insan untuk terus hidup dalam suasana yang penuh kedamaian, kebahagiaan dan keharmonian.
Semoga semangat Deepavali terus menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Kerana apabila kita saling mengenali, memahami dan menghargai, di situlah lahirnya sebuah keluarga besar Malaysia yang hidup dalam semangat persaudaraan.