Tarikh Program | 16-08-2025 |
16 Ogos 2025, Sabah – Festival Seni Kaligrafi dan Seni Motif Perpaduan 2025 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Penyertaan Peserta Teramai Daripada Pelbagai Kaum Menyertai Festival Kaligrafi.
Seramai 1,500 orang telah mengambil bahagian dalam festival ini.Festival ini telah berlangsung selama tiga (3) hari bertujuan untuk meraikan keindahan seni tulisan, memupuk rasa hormat dan keterbukaan terhadap seni dan budaya semua kaum. Selain itu, festival ini turut menonjolkan keindahan seni kaligrafi serta motif Malaysia sebagai sebahagian daripada khazanah budaya negara.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dalam ucapannya berkata, ‘Festival Kaligrafi Perpaduan ini adalah manifestasi terbaik bagaimana seni budaya boleh menjadi jambatan penghubung antara pelbagai etnik, seterusnya mengukuhkan rasa hormat dan penghargaan antara satu sama lain. Festival ini menzahirkan semangat kebersamaan yang menjadi teras perpaduan negara’.