Tarikh Program | 19-09-2024 |
19 September 2024, Putrajaya - Dalam usaha melestarikan kepentingan elemen sejarah sebagai tunjang pembentukan masyarakat Malaysia MADANI yang unik, bersatu, progresif, dinamik dan berdaya saing, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia menganjurkan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024. Majlis perasmian konvensyen disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini. Turut hadir, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.
YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapan aluannya berkata “Sejarah adalah asas dalam membentuk identiti dan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Dengan mengkaji sejarah negara, kita dapat mengenali nilai-nilai teras yang telah ditanamkan oleh nenek moyang kita termasuklah semangat perpaduan, kebersamaan dan keadilan sosial. Nilai-nilai ini adalah asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera”.