Lawatan Kerja Bersama Agensi Baharu Kementerian
Maklumat Program
Tarikh Program |
15-12-2022 |
14 Disember 2022, Putrajaya - Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang memulakan sesi Lawatan Kerja bersama agensi baharu yang berada di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Sesi lawatan di sebelah pagi bermula dengan kunjungan ke Arkib Negara di Kuala Lumpur. YBrs. Tuan Mokhtaruddin Lamsin, Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara mengetuai sesi penyampaian taklimat. YB Menteri turut melawat dan mendengar penerangan ringkas berkenaan peranan dan tanggungjawab Arkib Negara yang merupakan agensi pemulihara bahan arkib untuk rujukan dan kelestarian warisan negara.
Selepas itu, YB Menteri turut melawat ke agensi baru seterusnya, iaitu Perpustakaan Negara. Sesi penerangan di Perpustakaan Negara telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, YBrs. Puan Salasiah Abdul Wahab. YB Menteri cukup tertarik dan berada agak lama di bahagian pemuliharaan Perpustakaan Negara Malaysia. Fungsi bahagian ini adalah bagi meningkatkan jangka hayat dan keadaan fizikal bahan-bahan perpustakaan yang rosak melalui proses pembaikan, rawatan, pewasapan, penyahasidan dan pelapisan.
Sesi lawatan kerja Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang hari ini diakhiri dengan berkunjung ke Jabatan Muzium Negara Malaysia yang terletak di Jalan Damansara, Wilayah Persekutuan. YB Menteri dan delegasi Pengurusan Kanan Kementerian diberi pemahaman tentang tugas menyelidik, mengumpul, memelihara warisan sejarah, kebudayaan dan alam semulajadi negara dalam kunjungan tersebut. Jabatan Muzium Malaysia turut mengurus muzium-muzium di bawah pentadbiran persekutuan dan memberi khidmat kepakaran dan nasihat kepada muzium-muzium negeri, jabatan kerajaan dan swasta. Ketua Pengarahnya, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim, turut memaklumkan bahawa institusi tersebut turut memberikan khidmat pengembangan ilmu pengetahuan melalui pameran, ceramah, bengkel, seminar, forum dan persidangan dan lawatan berpandu ke balai-balai pameran.