| Tarikh Program | 14-10-2025 |
14 Oktober 2025, Kuala Lumpur - YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat YB Menteri Perpaduan Negara bersama Exco- Exco Perpaduan Negeri dan Exco - Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) bilangan kedua bagi tahun 2025.
Ini menjadi platform pemangkin kepada usaha penyatupaduan rakyat di semua peringkat kebangsaan mahupun negeri ke arah memperkukuh keharmonian dan perpaduan negara.
Beberapa perkara utama telah dibincangkan antaranya diputuskan agar Program Arkib Komuniti diperluaskan oleh Arkib Negara Malaysia kepada komuniti di seluruh negara mulai tahun 2026. Antara komuniti dan lokasi yang telah dikenal pasti termasuk Komuniti Wayang Kulit Seri Asun, Komuniti Makanan Tradisi, Komuniti Boria, Komuniti Waris Pawang Diraja Selangor, Komuniti Dondang Sayang, Komuniti Peranakan Cina dan Komuniti Kota Lama.
Mesyuarat turut bersetuju untuk menetapkan satu tarikh rasmi sebagai Sambutan Hari Arkib Komuniti di peringkat nasional yang akan diraikan oleh komuniti di seluruh Malaysia setiap tahun. Sambutan ini dijangka menjadi platform untuk memperkukuh semangat kerjasama, memupuk kecintaan terhadap sejarah serta menyumbang ke arah pembinaan identiti nasional yang lebih utuh dan bersepadu.