| Tarikh Program | 16-05-2026 |
16 Mei 2026, Kuala Lumpur - Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 merupakan manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh jalinan keharmonian serta membina negara bangsa Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan bersatu padu. Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 dan Program Bermalam di Muzium Bersama Belia di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan bahawa agenda perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh identiti nasional dan pembinaan negara bangsa yang berasaskan kefahaman sejarah, penghormatan terhadap kepelbagaian budaya serta penghayatan nilai kemanusiaan sejagat. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, perpaduan merupakan kekuatan utama negara yang perlu dipelihara dan diperkasakan merentas generasi.Penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 amat signifikan kerana bertepatan dengan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang bakal diraikan di seluruh dunia pada 18 Mei ini dengan mengangkat tema “Museums Uniting a Divided World” atau “Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah”.
YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya turut mengumumkan bahawa kesemua 19 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia akan dibuka secara percuma kepada seluruh warganegara Malaysia bersempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 pada 18 Mei ini.