Tarikh Program | 20-07-2023 |
20 Julai 2023, Putrajaya -Kementerian Perpaduan Negara telah mengadakan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) buat julung kalinya yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Pengerusi MPPN bagi sesi keahlian baharu dari 2023 hingga 2025.
MPPN ditubuhkan sebagai usaha bagi menasihati Kerajaan dalam hal ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan, usaha usaha penyatuan nasional (national reconciliation) dari pelbagai sudut serta mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada Kerajaan untuk memastikan perpaduan negara terus dipelihara.
Mesyuarat pada kali ini turut memfokuskan kepada pelaporan mengenai pelaksanaan program-program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian di bawah flagship Kembara Perpaduan yang merangkumi tiga (3) kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.
Menjadi tanggungjawab bersama ahli-ahli MPPN bagi memikirkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan sejajar dengan kerangka perpaduan baharu yang telah dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.