| Tarikh Program | 06-07-2026 |
6 Julai 2026, Pulau Pinang - Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang telah menganjurkan Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Penganjuran Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja meraikan budaya membaca dan industri perbukuan malah turut mengangkat seni tulisan sebagai warisan ketamadunan, lambang identiti dan medium penyatuan masyarakat.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa penganjuran pesta buku pada hari ini amat bertepatan sebagai satu platform memperluaskan akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti, menyemarakkan budaya ilmu, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, serta merancakkan industri buku tempatan.