| Tarikh Program | 01-10-2026 |
1 Oktober 2026, Kuala Lumpur - Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Seminar Pustakawan Digital Kebangsaan 2026. Bertemakan “Keterlihatan, Inklusif, Ketahanan” seminar ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, Timbalan Menteri Perpaduan Negara di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Seminar yang diadakan selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober 2026
ini menghimpunkan lebih 400 orang peserta daripada sektor perpustakaan, kerajaan, akademia, pendidikan dan industri teknologi yang bertujuan memperkukuh kompetensi digital pustakawan serta mempercepat transformasi perkhidmatan perpustakaan negara.
Pada masa yang sama, daripada aspek pemeliharaan khazanah ilmu negara pula, PNM telah berjaya mendigitalkan 75,042 judul bersamaan 4,470,776 muka surat, merangkumi manuskrip Melayu, koleksi nadir, mikrofilem surat khabar dan warta kerajaan sehingga Ogos 2026. Dalam majlis yang sama, YB Tuan Yuneswaran turut melancarkan eBuku Pelan Strategik Pendigitalan PNM 2026–2030 dan Garis Panduan Perpustakaan Digital di Malaysia sebagai langkah memperkukuh ekosistem perpustakaan digital yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.