| Tarikh Program | 19-11-2025 |
19 November 2025, Kuala Lumpur - YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara telah menjawab soalan daripada YB Tuan Fathul Huzir bin Ayob (Gerik) di Dewan Rakyat.
Dalam sesi perbahasan, YB Tuan bertanyakan sama ada Kementerian Perpaduan Negara boleh mempertimbangkan pembinaan Muzium Perang Force 136 dan Muzium Darurat Menentang Komunis (PKM) di kawasan bersejarah di Parlimen Gerik, bagi memperingati sejarah perjuangan negara serta sebagai tarikan pelancongan dan sumber pendidikan kepada masyarakat.
YB Timbalan Menteri telah menjawab bahawa sebarang cadangan penubuhan muzium baharu perlu melalui kajian komprehensif kerana ia melibatkan kos pembangunan fasiliti, pemerolehan koleksi, pertambahan jawatan baharu serta kos operasi yang tinggi melibatkan pelbagai pihak dan sektor.
Sehubungan itu, Kementerian tidak bercadang untuk membina Muzium Perang Force 136 atau Muzium Darurat Menentang Komunis (PKM) pada masa ini.
Walau bagaimanapun, sejarah Darurat dan peranan Force 136 telah pun diketengahkan di beberapa muzium sedia ada, antaranya:
* Muzium Perak, Taiping – melalui Pameran Malaysia Era Perang Dunia Kedua sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023.
* Muzium Negara – yang menampilkan sejarah Darurat sebagai sebahagian daripada pameran kekal.
* Muzium Tentera Darat Malaysia, Muzium Kepolisan dan Muzium Bukit Kepong – yang mempamerkan sejarah Darurat termasuk peranan Force 136.