| Tarikh Program | 16-12-2025 |
16 Disember 2025, Kuala Lumpur - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus mengorak langkah progresif dengan memperkenalkan pendekatan baharu berasaskan teknologi digital dan imersif dalam usaha menarik minat generasi muda, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi masa kini.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, hari ini telah mengadakan sesi walkabout bagi meninjau pelaksanaan projek tersebut. Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan, dan berdaya saing.
Projek Pembangunan Pusat Pembelajaran Imersif ini dibangunkan bertujuan untuk memperluas akses kepada sumber maklumat digital serta menggalakkan penggunaan teknologi sebagai medium untuk memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pelaksanaan program literasi digital yang lebih komprehensif.
Projek di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas Rolling Plan 5 (RMKe-12 RP5) serta merupakan sebahagian daripada Inisiatif Belanjawan 2025 di bawah Pendigitalan Khazanah Warisan Negara telah bermula pada 15 Mac 2025 dan disiapkan sepenuhnya pada 28 November 2025.