29 April 2025, Sabah - YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam Perhimpunan Agung Majlis Gereja - Gereja Malaysia.
Ucapan YB Datuk juga menekankan peranan penting institusi rumah ibadat dalam pembinaan negara bangsa. Rumah-rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi golongan yang memerlukan, malah turut menjadi pusat pendidikan dan sumber kekuatan moral kepada masyarakat.
Kita kini berada dalam era yang penuh cabaran era abad ke-21 yang menyaksikan ledakan teknologi digital, penyebaran maklumat salah, kemunculan politik identiti, dan relativisme moral yang mengaburkan sempadan antara benar dan salah. Dalam suasana ini, suara pemimpin agama mesti dipandu dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan iltizam terhadap prinsip keadilan sejagat.
Negara bangsa tidak terbina hanya melalui dasar dan pembangunan fizikal. Ia terbina melalui nilai. Melalui akhlak. Melalui belas ihsan antara manusia. Dan institusi rumah ibadat memainkan peranan penting dalam membentuk nilai-nilai ini dalam jiwa rakyat.
Beliau turut percaya bahawa sekiranya semua institusi keagamaan dapat terus bekerjasama di atas landasan hormat-menghormati, saling memahami, dan cinta akan tanah air kita mampu membina Malaysia yang harmoni.