16 Ogos 2023, Kuala Lumpur -Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Program Semarak Merdeka : Warisan dan Wawasan. Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Sobri bin Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha KPN. Program yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini adalah bertujuan untuk menggelorakan semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat. Di samping untuk menjiwai konsep Malaysia MADANI menerusi bual bicara dan diskusi ilmiah yang membincangkan usaha untuk menyemai rasa cinta pada negara melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Kementerian Perpaduan Negara percaya bahawa program seumpama ini mampu untuk mendorong masyarakat menghargai sejarah dan mengukuhkan nilai-nilai murni serta memantapkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian budaya rakyat Malaysia yang sudah sedia terjalin sejak awal kemerdekaan dahulu.