01 September 2023, Kuala Lumpur -“Pelaksanaan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara sejajar dengan matlamat utama Dasar Perpaduan Negara yang memperkasa usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.” Jelas YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya semasa merasmikan Sambutan 60 Tahun Muzium Negara anjuran Jabatan Muzium Malaysia.
Muzium Negara menjadi simbol keutuhan perpaduan dan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan seluruh Masyarakat. Tanpa mengira latar belakang kaum, budaya dan agama, ramai yang tampil menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit, penyerahan koleksi mahupun tenaga, idea dan kemahiran tertentu misalnya dalam bidang peragaan, lukisan, hiasan dan seni ukiran.
Penganjuran program ini membuktikan kesatuan dan kerjasama utuh di antara muzium serta institusi yang terlibat serta penglibatan masyarakat secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pembangunan sosial yang berterusan, khususnya dalam pembentukan dan pengukuhan jati diri kebangsaan.
Turut hadir, YBhg. Dato' Indera Noridah binti Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan YBrs. Encik Mohd Sobri bin Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha KPN.