15 Oktober 2021 - Misi ke arah memperkasakan perpaduan kaum di kalangan masyarakat Malaysia diteruskan dengan pelbagai program menarik oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara telah melancarkan Café Uniti Citarasa Keluarga Malaysia dalam program jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia ke negeri Perak, Darul Ridzuan. Restoran Shake and Bake di Bandaraya Ipoh dipilih untuk menerima pengiktirafan sebagai Café Uniti yang pertama di negeri itu, dalam kunjungan Menteri Perpaduan Negara ke negeri tersebut.
Pemilihan Restoren Shake and Bake adalah berdasarkan keunikan dalam penyajian menu pelbagai citarasa, sehingga mampu menarik kunjungan pelanggan daripada berbilang kaum dan agama.
Café Uniti Citarasa Keluarga Malaysia adalah antara usaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi meraikan pengusaha-pengusaha restoran yang turut bersatu hati dalam mendukung aspirasi perpaduan dengan membudayakan amalan ‘mencungkil persamaan dan tidak menggali perbezaan’.