| Event Date | 10-10-2026 |
10 Oktober 2026, Kuala Lumpur - Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Etnologi Dunia Melayu telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 yang dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara bertempat di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.
Seminar ini merupakan sebahagian usaha memperkukuh penyelidikan dan pertukaranilmu mengenai sejarah serta perkembangan diaspora Melayu, memperluas jaringan kerjasama antara institusi akademik, kebudayaan dan masyarakat Melayu di peringkat antarabangsa, serta memperkasa usaha pemeliharaan bahasa, seni, adat dan warisan Melayu untuk generasi akan datang.
Penganjuran Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 ini juga menyediakan platform kepada para penyelidik, ahli akademik dan penggiat bidang kebudayaan dari dalam dan luar negara untuk membentangkan hasil kajian, berkongsi pengetahuan serta bertukar pandangan melalui pendekatan pelbagai disiplin seperti sejarah, antropologi, sosiologi, linguistik dan kebudayaan.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dalam ucapannya berkata, “Diaspora Melayu perlu dilihat sebagai asset diplomasi budaya Malaysia membawa bahasa, seni, adat, makanan, agama dan sejarah Melayu merentasi sempadan. Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memelihara dan memperkasa warisan persuratan Melayu melalui pemuliharaan manuskrip Melayu, koleksi nadir, bahan bercetak dan sumber digital”.