| Tarikh Program | 26-01-2026 |
26 Januari 2026, Putrajaya - YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia.
Pertemuan ini menzahirkan komitmen bersama dalam memperkukuh usaha pemerkasaan budaya warisan kepelbagaian etnik sebagai elemen teras pembinaan jati diri dan identiti masyarakat. Sehubungan itu, Malaysia melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan menjalin kerjasama strategik bersama The Federal Agency for Ethnic Affairs, Persekutuan Rusia dalam merangka serta melaksanakan dasar-dasar negara yang berkaitan dengan pengurusan dan pemerkasaan kepelbagaian etnik.
Perbincangan ini turut menumpukan kepada pembentukan kerjasama strategik dalam bidang perpustakaan sebagai sebahagian daripada kerangka dasar hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia. Kerjasama tersebut merangkumi pertukaran kepakaran profesional, pembangunan dan pengukuhan sumber maklumat, pelaksanaan penyelidikan bersama, serta pendigitalan koleksi warisan ilmu.
Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkukuh diplomasi pengetahuan dan kerjasama kebudayaan, bertujuan memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, merangsang inovasi dalam pengurusan maklumat, serta mempertingkat pertukaran pengalaman dan amalan terbaik antara institusi perpustakaan kedua-dua negara.