| Tarikh Program | 14-08-2026 |
14 Ogos 2026, Vietnam- Kunjungan Hormat Delegasi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang diketuai oleh YBhg. Datuk Mohamad Azhan bin Md Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negara kepada YBrs.Tuan Nguyen Loc Ha, Naib Presiden Tetap Jawatankuasa Rakyat Bandar Raya Ho Chi Minh telah diadakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Green Summer Volunteer Campaign ke-33.
Pertemuan ini turut menjadi platform bagi KPN dan YSS untuk mendapatkan perkongsian berkaitan amalan terbaik dalam pengurusan dan mobilisasi sukarelawan dalam skala besar, khususnya dari aspek penglibatan belia yang tersusun, sistematik, berintegriti dan berimpak.
Kepimpinan Kesatuan Belia Bandar Raya Ho Chi Minh turut menekankan kepentingan hubungan Malaysia–Vietnam serta menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama dalam bidang kesukarelawanan dan pembangunan belia, susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama YSS pada Februari 2025. Kerjasama berterusan ini berpotensi memperkukuh diplomasi belia, memperluas jaringan kesukarelawanan serta menyokong aspirasi kerjasama belia di peringkat ASEAN.