02 Oktober 2023, Selangor -Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia telah melaksanakan Program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Institut Pendidikan Tinggi di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia hari ini. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.Penganjuran program ini merupakan susulan daripada Peluncuran Eksplorasi Rukun Negara yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara pada 13 Ogos lalu. Kemudian diikuti dengan Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Sekolah pada 14 Ogos 2023.Inisiatif pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memperkasa pembudayaan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian masyarakat dan akan diperluas pelaksanaannya di semua peringkat agar orang awam dapat meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara.Seramai 3,500 mahasiswa telah terlibat dalam program Eksplorasi Rukun Negara ini. Komitmen mahasiswa sebagai generasi pewaris masa depan negara diharapkan dapat menghayati dan mengamalkan cita-cita serta prinsip Rukun Negara, sekaligus bertindak menjadi rakan Eksplorasi Rukun Negara dalam menyemarakkan lagi penghayatan dan pembudayaannya dalam kalangan masyarakat.