31 Oktober 2026, Perlis - Majlis Perasmian Karnival Semarak Perpaduan Indera Kayangan, Perlis 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara di Taman Merdeka.
Program komuniti berskala besar yang dianjurkan oleh Persatuan Nur Kasih Parlimen Kangar, Perlis (PNK) ini menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya untuk berinteraksi, bekerjasama dan mengeratkan hubungan. Antara aktiviti yang diadakan termasuk Let’s Run Indera Kayangan, pertandingan tradisional, e-sukan, sepak penalti dan tarik tali, selain pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian sayur-sayuran percuma serta Jualan Agro MADANI.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Dato’ turut menegaskan bahawa usaha memupuk perpaduan memerlukan komitmen semua pihak, termasuk NGO, komuniti, institusi pendidikan dan sektor swasta. KPN akan terus menghargai NGO sebagai rakan strategik dalam menyemai semangat perpaduan di peringkat akar umbi, selaras dengan agenda Pembinaan Negara Bangsa dan nilai-nilai MADANI.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Nur Kasih Parlimen Kangar (PNK) selaku penganjur dan semua pihak yang menjayakan karnival ini.
