6 November 2026, Kuala Lumpur - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan terus memperkukuh pendekatan “Merakyatkan Muzium” menjelang tahun 2027. Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara di Majlis Perasmian Program Nostalgia Anak Kampung: Kerja Kampung di Muzium Negara.
Tiga aspek tersebut merangkumi pertama, perluasan program muzium bersama komuniti melalui pendekatan community-based engagament yang memberikan ruang kepada masyarakat setempat untuk terlibat secara langsung dalam mengenal pasti, mendokumentasi dan mengetengahkan sejarah serta warisan komuniti masing-masing. Kedua ialah mempercepat pendigitalan khazanah nasional agar koleksi sejarah dan bahan warisan negara dapat diakses dengan lebih meluas tanpa batasan lokasi dan masa.
Ketiga, penumpuan terhadap usaha menarik minat generasi muda melalui Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM), Bermalam di Muzium dan Program Kurator Muda melalui aktiviti interaktif, pertandingan inovasi, penyelidikan, penciptaan kandungan digital dan penceritaan sejarah.
YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, “Sejak Januari hingga Oktober tahun ini, JMM telah menganjurkan sebanyak 100 program yang merangkumi pelbagai pengisian di bawah Citra Nusa, Fiesta Uniti, pameran sementara, forum dan seminar serta program muzium bersama komuniti. JMM juga berjaya memperluas jaringan kerjasama dengan 55 rakan strategik dari kedua-dua sektor awam dan swasta yang menyumbang penajaan dalam pelbagai bentuk selain kepakaran, perkhidmatan, promosi, kemudahan dan khidmat nasihat.
