01 Januari 2023,Terengganu -Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir di Terengganu selama 3 hari bermula 30 Disember 2022 sehingga 1 Januari 2023. Program ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim yang turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di sekitar Kuala Nerus, Terengganu. Hadir sama adalah YBrs. Encik Mohd Rosli Alias, Pengarah Perpaduan Negeri JPNIN Terengganu, dan YBrs. Encik Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif YSS. Misi ini telah disertai oleh sukarelawan mahasiswa daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) (Kampus Dato' Razali Ismail), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), University College MAWIP International dan Alumni YSS. Selain sukarelawan YSS, ahli Skuad Uniti daripada KRT Pulau Sekati turut bergotong-royong dengan menyediakan makanan melalui program Dapur Komuniti dan membersihkan Masjid Kg Pulau Sekati yang terjejas akibat banjir.
Usaha yang ditunjukkan oleh YSS ini harus diberikan pujian kerana selain dapat meringankan beban mangsa banjir, khidmat komuniti yang diberikan oleh sukarelawan mahasiswa ini mampu memberikan nilai tambah berkaitan pengurusan bencana dan peningkatan jatidiri dalam diri mereka.