5 April 2025, Melaka - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.
Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka serta YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.
Majlis ini merupakan kesinambungan tradisi sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh YAB Perdana Menteri bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang. Bertemakan ‘ Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, program ini mengangkat nilai ihsan dan semangat toleransi sebagai asas kepada kesatuan dalam kepelbagaian. Ia turut menjadi wadah untuk meraikan kemajmukan budaya Malaysia dan memperkukuh nilai keharmonian serta kesejahteraan dalam masyarakat.
Majlis ini telah memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dengan semangat saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi teras keharmonian negara. Aidilfitri bukan sekadar satu perayaan keagamaan tetapi juga satu manifestasi perpaduan yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama,bangsa dan latar belakang.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran lebih 60,000 pengunjung yang dihidangkan dengan lebih 100 jenis juadah tradisional, menambah seri dan kemeriahan suasana Syawal pada kali ini.