20 November 2021 - Pertandingan ini merupakan acara tahunan bagi KRT Kg Sungai Udang memandangkan KRT ini berada berdekatan dengan kawasan sawah padi dan tali air. Suasana di sawah padi yang menghijau dan gunung ganang sangat menceriakan mata memandang sambil menghirup udara yang segar.
Pertandingan ini mengembalikan nostalgia kerana para peserta menggunakan batang joran yang diperbuat daripada pelepah salak dan batang buluh serta menggunakan umpan keredek yang terkenal di kawasan utara.
Pertandingan ini diadakan dalam suasana patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memastikan para peserta memakai pelitup muka. Peserta pertandingan telah memancing pelbagai jenis ikan seperti haruan, keli, sepat dan puyu.
Aktiviti riadah seperti ini menjadi tarikan kepada kaki pancing ikan sungai atau lebih dikenali sebagai ikan darat. Penyertaan peserta adalah terdiri daripada Jiran Wanita, Jiran Muda dan Tunas jiran yang sama-sama hadir bagi memeriahkan pertandingan ini. Pegawai Perpaduan Daerah Yan, Puan Nasriza bt Long telah turun menyampaikan hadiah kepada para pemenang.