5 Disember 2021 - Program RT Cares, #KitaBersama adalah merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan komuniti semasa pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan tanggungjawab komuniti Rukun Tetangga.
Program ini berteraskan kepada konsep RT4ALL iaitu RT untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang melalui semangat kebersamaan dengan hashtag #KitaBersama. Program RT Cares adalah selaras dengan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL) di bawah Gerak Kerja Komuniti RT Sejahtera.
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Barat Daya dengan kerjasama pihak KRT Desaria Sri Merpati telah menjayakan Program Sumbangan Bakul Makanan atau lebih dikenali dengan RTCares.
Sumbangan bakul makanan ini menyasarkan golongan yang terjejas pendapatan semasa pandemik Covid-19 seperti golongan warga emas dan warga kelainan upaya sebagai tumpuan utama dalam pemberian sumbangan ini.
Sumbangan berbentuk barangan asas keperluan dapur ini disampaikan dengan harapan dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban 30 orang penerima yang kurang bernasib baik dalam menempuhi saat getir ini.