23 Mei 2026, Sarawak - Upacara Miring mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara di peringkat kebangsaan dan seterusnya dipertimbangkan di bawah UNESCO. Perkara tersebut dicadangkan oleh YB Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan Malam Mantar Gawai Dayak Bahagian Sibu 2026 di sini.
YB Dato Sri Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata, “Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara perlu mewartakan upacara ini sebagai Warisan Kebangsaan terlebih dahulu agar ia dapat didokumentasikan, dipelihara dan dipromosikan secara lebih menyeluruh”.
Upacara Miring adalah antara elemen yang amat signifikan dalam adat masyarakat Dayak dan masih diamalkan sehingga ke hari ini khususnya dalam sambutan Hari Gawai. Upacara ini merupakan ritual tradisi yang sarat dengan nilai spiritual, kesyukuran, penghormatan kepada alam serta permohonan kesejahteraan menurut kepercayaan masyarakat Dayak.
“Selain itu, usaha pemeliharaan budaya Dayak telah pun menunjukkan kejayaan apabila tarian Ngajat diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan budaya masyarakat pribumi sebagai sebahagian daripada identiti nasional”, tambah beliau.
